Pages

Alahan & Faktor Pencetus Lain

Faktor keturunan dan alahan boleh menyebabkan asma berlaku dikalangan kanak-kanak. Alahan dan asma berhubung-kait antara satu sama lain tetapi ia adalah dua penyakit yang berasingan.

Sebahagian besar kanak-kanak yang menghidap asma mempunyai alahan. Walau bagaimanapun bukan semua yang ada alahan menghidap asma dan bukan semua kes-kes asma berkaitan dengan alahan.

Ada beberapa faktor pencetus yang boleh menyebabkan gejala asma berlaku
atau memulakan serangan asma.


ALLERGEN (bahan yang boleh menyebabkan alahan)
 
Allergen di dalam dan luar rumah boleh menyebabkan asma. Allergen yang dihidu adalah punca utama asma. Pendedahan kepada allergen di udara (walaupun dengan kuantiti yang sedikit) boleh menyebabkan gejala asma.

Pendedahan yang berulang pula boleh menyebabkan radang saluran pernafasan yang berpanjangan. Allergen termasuk:
  • Debunga
  • Hama (House dust mites)
  • Kulat
  • Bulu binatang
Meskipun binatang peliharaan telah dikeluarkan dari rumah beberapa bulan sebelum itu, bulu binatang peliharaan tersebut akan masih melekat pada permaidani dan sofa di rumah.

Pendedahan yang berterusan kepada allergen akan menyebabkan tindak balas yang sama berlaku.

Cuba kenal pasti allergen yang menyebabkan alahan pada anak anda. Seandainya allALLERGEN (bahan yang boleh menyebabkan alahan)ergen penyebab utama asma dapat dikenal pasti, bantulah anak anda untuk mengelak daripada terdedah kepada bahan tersebut.

Cadangan untuk membantu mengelak daripada tersedut/terhidu bahan allergen:
  • Basuh semua cadar, selimut dan sarung bantal dengan air panas setiap minggu.
  • Sebaiknya tidak mengunakan permaidani di rumah.
  • Penggunaan langsir tidak digalakkan.
  • Lap semua permukaan mengunakan kain yang lembab dan elakkan menyapu habuk.
  • Gunakan patung permainan yang boleh dibasuh.
  • Gunakan alat pendingin udara sekiranya berkemampuan.
  • Elakkan daripada terdedah kepada kulat seperti daun basah dan sampah-sarap di luar rumah.
  • Bataskan aktiviti luar rumah terutama pada pokok-pokok berbunga terutama di waktu pagi.
  • Langkah terbaik ialah tidak memelihara binatang peliharaan di rumah.
Seandainya semua tindakan di atas gagal, dapatkan nasihat daripada doktor, bincang perkara tersebut dengan doktor anda supaya ubat pencegah alahan dapat diberi sekiranya perlu.


Senaman

Lebih kurang 80% kanak-kanak penghidap asma mula menunjukkan gejala apabila melakukan senaman yang lasak. Kebanyakan gejala mungkin berlaku pada masa cuaca sejuk, udara kering dan ketika melakukan aktiviti bersukan yang memerlukan stamina yang tinggi seperti larian merentas desa.

Namun, dengan rawatan asma yang sesuai, kanak-kanak ini boleh mengambil bahagian dalam semua acara sukan mengikut tahap kemampuannya.
Senaman aerobik pula dapat menguatkan otot pernafasan seterusnya meningkatkan fungsi sistem pernafasan secara keseluruhannya. Sukan yang baik untuk kanak-kanak penghidap asma ialah berenang. Sukan ini jarang menyebabkan si penghidap mendapat serangan asma.

Bagi mengelakkan terjadinya serangan asma selepas senaman, langkah-langkah dibawah hendaklah dipatuhi:
  • Mengambil ubat pelega setengah jam sebelum bersenam.
  • Pastikan asma dikawal dengan baik.
  • Lakukan senaman ringan sebelum bersukan.
  • Bernafas melalui hidung semasa bersenam.

Jangkitan (infection)

Jangkitan kuman virus pada sistem pernafasan (seperti batuk, selesema dan resdung) sering menyebabkan terjadinya serangan asma dikalangan kanak-kanak. Ini tidak dapat dielakkan bagi kebanyakan kanak-kanak penghidap asma.

Bagi kanak-kanak kecil yang sering mendapat serangan asma yang teruk dan kerap, elakkan menghantar anak ke pusat asuhan buat sementara waktu. Ini dapat membantu mengurangkan serangan asma.

Ia melibatkan 50% serangan asma yang akut (berlaku secara tiba-tiba). Sebaik-baiknya elakkan berada di tempat awam yang sesak. Pastikan anak anda sentiasa sihat.


Merokok

Tembakau rokok mengandungi lebih daripada 3, 800 bahan kimia yang tidak baik untuk kesihatan. Merokok memusnah dan menganggu sistem pernafasan.
Pendedahan kepada asap rokok (passive smoking) membahayakan kesihatan kanak-kanak di antaranya:
  • Meningkatkan kadar mendapat jangkitan kuman di sistem pernafasan.
  • Meningkatkan kejadian jangkitan di bahagian telinga tengah.
  • Menjadikan asma semakin teruk.
  • Mengakibatkan kekerapan berlakunya serangan asma dan melemahkan perkembangan paru-paru.
Menjauhi asap rokok mungkin dapat mengelakkan serangan asma dan penyakit-penyakit pada sistem pernafasan. Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak merokok semasa bersama anak-anak.


Punca ransangan asma (Irritants)

Terdapat di dalam banyak bahan termasuk:
  • Minyak wangi.
  • Bauan dari cat.
  • Bijirin (grain).
  • Habuk tepung.
  • Habuk dari papan gergaji.
Seandainya anda telah mengenal pasti alahan anak anda, elakkan perkara tersebut kerana ini dapat membantu mencegah gejala asma.


Makanan dan bahan pengawet makanan

Umum mempercayai bahawa bahan pengawet makanan dan pewarna makanan boleh menyebabkan serangan asma tetapi masih belum ada kajian untuk membuktikan kenyataan ini.

Kejadian alahan pada makanan melibatkan 1%-2% daripada jumlah populasi kanak-kanak. Bahan-bahan ini jarang mencetuskan serangan asma.

Mengelakkan alahan yang berpunca daripada bahan makanan amatlah mencabar. Oleh itu, anda dinasihatkan supaya tidak menghalang anak anda daripada mengambil sesetengah makanan, kecuali telah terbukti makanan/bahan alahan tersebut boleh menyebabkan serangan asma.


Ubat-ubatan

Sesetengan ubat boleh mencetus gejala asma. Antaranya adalah:
  • Aspirin.
  • NSAIDs (ubat penahan sakit).
  • Beta-blokers (ubat darah tinggi).
  • Dye yang digunakan di jabatan x-ray.
  • Royal jelly (concentration bee-pollen).
Ubat-ubatan di atas mungkin mengakibatkan serangan asma dan hendaklah dielakkan sekiranya berkaitan.


Emosi

Keadaan berikut boleh menyebabkan penyempitan saluran penafasan:
  • Terlalu gembira.
  • Bersedih.
  • Terlalu marah.
  • Terlalu takut.
Gejala asma akibat perkara tersebut jarang berlaku dan tidak akan timbul sekiranya asma dikawal dengan baik.


Perubahan cuaca dan suhu

Kanak-kanak asma amat sensitif kepada perubahan cuaca secara mendadak. Udara yang sejuk akan masuk ke dalam sistem pernafasan dan boleh menyebabkan serangan asma terutama semasa musim hujan.


Gastroesophageal reflux (pembalikan asid dari perut ke Esofagus)

Pembalikan asid dari perut ke bahagian esofagus (reflux) akan menyebabkan radang di bahagian bawah esofagus yang seterusnya mengakibatkan salur pernafasan menjadi sempit. Keadaan ini dihadapi oleh sesetengah penghidap asma. Rawatan reflux akan mengurangkan serangan asma. Seandainya anak anda mengalami gejala reflux seperti tersedak, muntah atau mengalami masalah penyusuan, beritahu doktor untuk penilaian/siasatan seterusnya.

No comments:

Post a Comment

Artikel Popular